Sabtu, 17 Oktober 2009

 Kebahagiaan Rumah Tangga

Kebahagiaan rumahtangga memang sesuatu yang diidam-idamkan oleh setiap insan. Apabila sepasang mempelai diijabkabulkan, mereka didoakan oleh banyak pihak supaya bahagia ke anak cucu. Namun bukan setiap orang yang mengidami kebahagian berjaya memperolehinya.

Walaupun kita tidak dapat menerangkan dengan jelas apa erti kebahagian, namun ramai daripada kita yang bersetuju bahawa sesebuah keluarga dikira bahagia kiranya setiap ahli keluarga merasa puas, tenang dan tenteram dalam banyak ketika.

Ramai manusia yang berhajat kepada kebahagiaan rumahtangga telah berusaha untuk mencapainya dengan berbagai cara. Ada orang yang merasakan rumahtangga akan bahagia jika mereka mempunyai banyak wang atau harta. Lalu, dia berhempas pulas mencari wang sehingga dia dan ahli keluarga tiada masa lagi untuk merasai
kebahagiaan daripada apa yang mereka kumpulkan.

Ada pula sebahagiannya berpendapat, sesebuah keluarga akan bahagia kiranya ia tertegak atas dasar cinta yang lahir dari saling kenal mengenali. Menurut mereka, dengan keluar bersiar-siar dan pengenalan dengan lebih dekat dengan bakal teman hidup mereka, mereka akan lebih memahami di antara satu sama lain, dan berhagia pada masa hadapan.

Apakah syarat pertama bagi kebahagiaan sesebuah keluarga?

Dalam Islam, permasalahan kebahagiaan rumahtangga tidak jauh bezanya daripada permasalahan manusia yang lain. Islam melihat kepada persoalan yang lebih awal dan asas iaitu iman dan taqwa kepada Allah. Iman dan taqwa kepada Allah akan melahirkan suami yang sentiasa bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak. Orang yang beriman akan tenteram dalam mengerjakan ibadah dan suka kepada kebaikan. Dia juga redha kepada hartanya kerana Allah telah menentukan rezekinya, setelah berusaha.

Muslim yang beriman menyedari bahawa memberi kasih sayang, perlindungan, makan minum dan memberi bimbingan agama adalah antara tugas yang mesti dilakukan. Allah akan mempersoalkan setiap tugas ini di hari Akhirat. Tegasnya, pembentukan iman dan taqwa adalah tahap pertama kepada segala usaha mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Walau bagaimanapun, seseorang yang mempunyai iman dan taqwa sahaja tidak semestinya menjaminnya untuk memperolehi satu kejayaan sekiranya ia tidak tahu bagaimana hendak menterjemahkan iman dan kefahamannya kepada kenyataan.

Tahap kedua yang mesti dilalui ialah membuat persediaan sebelum berkahwin. Pada tahap ini, bakal-bakal suami dan isteri hendaklah sekurang-kurangnya mendalami ilmu-ilmu mengenai hukum hakam perkahwinan, psikologi lelaki dan wanita dan juga kesihatan .Melalui ilmu hukum hakam perkahwinan, bakal suami atau isteri tahu rukun-rukun perkahwinan, tujuan perkahwinan, tugas-tugas suami dan isteri, adab-adab pergaulan antara suami isteri, dan pendidikan anak-anak.

Ilmu psikologi wanita dan lelaki akan memberi kefahaman kepada suami isteri agar apa sahaja tindakan yang diambil telah mengambil kira sifat-sifat tabii pasangannya. Dengan itu tidak terjadi sesuatu pihak mengharapkan pasangannya melakukan sesuatu yang pada tabiinya tidak dapat dibuat oleh pasangannya.

Pengetahuan asas penjagaan kesihatan dan penyakit-penyakit yang biasa terjadi adalah amat berguna kerana kesihatan adalah berkait rapat dengan kebahagaian keluarga kerana daripada individu-individu yang sihatlah dapat dilaksanakan berbagai kegiatan kekeluargaan.

Tahap ketiga pula adalah tahap di mana rumahtangga kini sudah dihuni oleh anak-anak. Inilah saat yang paling penting kerana bukan sahaja suami atau isteri yang akan terlibat tetapi juga anak-anak akan terbawa dalam setiap kebahagiaan ataupun penderitaan yang menyelubungi rumahtangga. Apa yang mesti wujud ialah sifat-sifat terpuji di antara suami dan isteri kerana pada saat ini anak-anak akan mencontohi tingkah laku ibubapanya. Suami dan isteri harus membaharui rasa cinta dan mesra mereka. Mereka harus mempertingkatkan lagi perasaan faham memahami, kasih sayang, sikap toleransi dan suka tolong menolong di antara suami dan isteri. Luangkan juga masa untuk anak-anak kerana anak-anak yang sentiasa berjauhan dengan bapanya selalunya mengambil jalan keluar sendirian yang mungkin merosakkan. Bagaimanakah sifat-sifat terpuji suami dan isteri serta anak-anak dapat dibentuk?Anda boleh difikirkan beberapa program yang praktikal.

Sikap beriman dan suasana yang salih dalam keluarga mesti dihidupkan kerana persekitaran yang baik akan menatijahkan jiwa dan pemikiran yang tenang. Jauhkan daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Antara program yang sangat praktikal ialah solah berjemaah, program membaca hadis, sesi bercerita kisah-kisah Nabi, membaca Al-Quran dan kuiz agama untuk anak-anak.

Pada hari ini, kita bersyukur kerana banyak kegiatan-kegiatan Islam seperti ceramah dan qiamuliail dianjurkan oleh berbagai pihak. Keluarga seharusnya mengambil peluang yang baik ini untuk dimanfaatkan oleh seisi keluarga. Menghadiri kelas pengajian Islam adalah penting kerana inilah di antara makanan rohani yang sangat perlu dicari selain daripada makanan jasad kita.

Di samping itu perbincangan antara suami isteri sekurang-kurangnya sekali seminggu harus juga dilakukan. Suami dan isteri harus berbincang mengenai apa-apa perkembangan atau masalah rumahtangga. Ini adalah untuk menyelaraskan hal-hal seperti kenakalan anak-anak, perbelanjaan dapur, makan-minum, pendidikan anak-anak ataupun apa-apa saja yang besar mahupun kecil menurut keperluan suami atau isteri. Tetapi apa yang penting ialah sikap suka berbincang. Sesung-guhnya akhlaq yang baik itu tidak hanya merupakan bercakap benar dan bersopan santun dalam kelakuan tetapi sikap suka berbincang dan bermusyawarah juga merupakan salah satu ciri akhlaq Islam yang tinggi nilainya.

Hidup berumahtangga yang didasarkan kepada keimanan kepada Allah sajalah merupakan kehidupan rumahtangga yang paling membahagiakan. Asas-asas yang selainnya seperti asas cinta semata-mata, asas harta, asas astrologi dan asas paras rupa adalah asas-asas yang sementara dan rapuh. Manusia harus sedar akan tanggungjawabnya melalui proses pendidikan agama. Apakah lagi yang boleh menghalang seorang suami atau isteri daripada iman dan rasa takut kepada Allah? Di samping itu, keluarga harus memperkayakan lagi kegiatan-kegiatan rumahtangga bagi menghidupkan suasana kegembiraan dan kebahagiaan dalam batas syarak.

0 komentar:

Posting Komentar